Memenuhi jemputan pihak sekolah bagi merasmikan Hari Karnival Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad. Saya memanfaatkan ruang ini untuk saya jelaskan peranan Pihak Berkuasa Tempatan dan Ahli Majlis. Sebelum saya memberikan penjelasan saya bertanya samada adik-adik tahu peranan dan skop kerja MBSP. Jawapan mereka “kutip sampah”. Ini merupakan jawapan yang kebiasaannya masyarakat jawab bila soalan tersebut diajukan. Saya bertanya pula tentang peranan Ahli Majlis. Kesemua mereka diam dan ada juga yang sekadar mengangkat bahu menandakan mereka tidak tahu.
Saya memberikan penjelasan ringkas berkenaan peranan Pihak Berkuasa Tempatan dan Ahli Majlis. Saya juga cadangkan kepada pihak sekolah agar diadakan satu program bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai agar satu penerangan yang lebih jelas berkenaan PBT dapat disampaikan. Saya turut kongsikan beberapa kejayaan saya di sekolah satu ketika dahulu beserta tips untuk berjaya dalam kehidupan. Saya turut tekankan bahawa kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin masa depan oleh itu pelajar-pelajar perlu pastikan diri mereka dilengkapi dengan nilai-nilai positif seperti semangat tidak menyerah kalah dan sikap sentiasa ingin mejadi yang terbaik agar mereka lebih berdaya saing.
Selesai majlis perasmian saya bersama Ustaz Mohd Fazli Bin Yunus (Pengetua), Ybhg. Dato’ Shariful Azhar (YDP PIBG) dan guru-guru melawat booth jualan sambil beramah mesra dengan pelajar-pelajar. Saya berkesempatan menyantuni peserta Taekwondo yang sedang menunggu giliran untuk persembahan. Terima kasih saya ucapkan kepada Cikgu Shakir dan pihak sekolah di atas layanan baik yang diberikan. Saya doakan agar SMKA AL-IRSHAD terus sukses..!!
ZAINUDDIN MOHAMED
Ahli Majlis
Majlis Bandaraya Seberang Perai
#BersamaZM
#MalaysiaMadani
#BerkhidmatUntukRakyat