PROGRAM WORLD WETLANDS DAY CELEBRATION 2024
27 Januari 2024 | Sabtu | 2.00 petang
Jeti Nelayan Sg. Tembus, Penaga
Majlis Bandaraya Seberang Perai dengan kerjasama daripada Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Shorebirds Peninsular Malaysia Project (SPMP) telah menganjurkan World Wetlands Day Celebrations 2024 atau dikenali sebagai Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia yang diadakan di Jeti Nelayan Sungai Tembus, Penaga, Seberang Perai Utara. Ini merupakan kali pertama saya singgah di Jeti Nelayan Sg. Tembus.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Sundarajoo a/l Somu, EXCO Perumahan dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang serta turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Azhar bin Hj Arshad, Datuk Bandar Seberang Perai, barisan Ahli-Ahli Majlis MBSP, YBrs. Tuan Hj Baderul Amin bin Abdul Hamid, Setiausaha Bandaraya MBSP, YBhg. Dr. Nur Munira binti Azman, Coordinator of Shorebirds Peninsular Malaysia Project; Encik Daren Tan, Head of Penang Branch Canon Marketing (M) Sdn Bhd, ketua-ketua Jabatan serta pegawai kanan agensi terlibat.
Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia yang disambut setiap tahun pada 2 Februari ini merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara dan memulihara tanah lembap (wetlands) serta penggunaan tanah lembap secara mampan agar kemandirian ekosistem tanah lembap dapat dikekaklkan untuk generasi akan datang.
Tanah lembap ini meliputi kawasan-kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai yang menjadi habitat kepada kepelbagaian sepsis flora dan fauna terutamanya burung yang bermigrasi. Tanah lembap (wetlands) adalah sebuah ekosistem yang amat penting dalam kehidupan kita yang bertindak sebagai habitat organisma laut, penampan ombak, sumber makanan dan ekonomi masyarakat serta banyak lagi. Namun kawasan ini tidak terlepas daripada aktiviti pembangunan, oleh itu tindakan kawalan yang cekap perlu diperkukuhkan dalam usaha untuk menyediakan kelangsungan ekosistem di kawasan tanah lembap.
Saya beserta YB EXCO, Datuk Bandar serta para jemputan turut berpeluang melawat sekitar pesisiran sungai dan pantai dengan menaiki bot di kawasan yang telah diiktiraf sebagai Kawasan Biodiversiti Utama (Key Biodiversity Area – KBA) di Malaysia iaitu di pesisir Teluk Air Tawar hingga ke Kuala Muda, SPU. Secara umumnya, kebanyakan spesis burung yang boleh dijumpai di kawasan ini adalah burung migrasi yang berasal dari Timur Laut Benua Asia termasuk Rusia, Mongolia, China, Jepun dan Korea yang akan datang ke Malaysia setiap tahun antara bulan Oktober hingga Mac.
Secara lazimnya setiap musim terdapat lebih kurang 65 spesis dengan anggaran 15,000 ekor burung air dan burung pantai migrasi yang ada di sekitar kawasan persisir pantai, lembah sungai dan kawasan sawah padi di Penaga. Burung-burung akan singgah mencari makanan sewaktu air laut surut. Kawasan pesisir di SPU ini amat berpontensi dijadikan pusat pelancongan yang baharu di Seberang Perai dan juga kesannya turut boleh dirasai penduduk sekitar dengan membantu menambah sumber pendapatan mereka terutama kepada nelayan tempatan.
Justeru, marilah bersama-sama kita memelihara alam semula jadi terutama di sekitar kawasan pantai dan sungai dengan memastikan tiada pembuangan sampah dan sisa secara tidak terkawal sehingga menggangu ekosistem sedia ada dalam usaha untuk mewujudkan Seberang Perai yang lebih mampan, bersih serta mewujudkan bandar eco-pelancongan kelak.
InsyaAllah jika berkesempatan saya ingin membawa pimpinan Kerajaan Perpaduan di Kepala Batas untuk melawat sekitar persisiran sungai dan pantai sambil menikmati keindahan kawasan sekitar.
ZAINUDDIN MOHAMED
Ahli Majlis
Majlis Bandaraya Seberang Perai
#BersamaZM
#MalaysiaMadani
#WetlandsDay2024