Majlis Bandaraya Seberang Perai melalui Jabatan Perkhidmatan Perbandaran telah menganjurkan Program Pengasingan Sisa Organik serta Majlis Pelancaran Tong Pengumpulan Sisa Organik MBSP 2023 yang diadakan di Auditorium MBSP, Menara Bandaraya, Bandar Perda pada petang ini.
Program ini diadakan bertujuan untuk mendidik para peniaga dengan memberikan tong pengumpulan sisa organik secara percuma kepada peniaga di pasar awam MBSP. Tong ini digunakan untuk mengasingkan sisa organik yang boleh dikumpul semasa menjalankan aktiviti perniagaan di pasar awam dan digunakan semula untuk diproses menjadi baja kompos. Melalui kaedah ini, sisa organik yang dihasilkan di punca diharapkan boleh dikurangkan dan dapat membantu mengurangkan kos pengendalian sisa makanan dan pada masa yang sama dapat mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Azhar bin Hj Arshad, Datuk Bandar Seberang Perai serta turut hadir bersama ialah barisan Whip & Ahli-Ahli Majlis MBSP, Ketua-ketua Jabatan MBSP, YBhg. Dato’ Syamshuar bin Husin, Pengarah Urusan Syarikat Greenviro Solutions Sdn Bhd. YBhg. Datuk Bandar turut menyampaikan tong pengumpulan sisa organik kepada wakil peniaga sebagai tanda bermulanya usaha ini.
Program yang mendapat kerjasama strategik daripada badan Korporat iaitu Syarikat Greenviro Solutions Sdn Bhd ini diharapkan dapat memastikan program pengasingan sisa dipunca ini akan berjaya dengan melibatkan sebanyak 30 pasar awam MBSP yang terdiri daripada 495 buah gerai. Usaha ini diharapkan dapat menyuntik semangat peniaga-peniaga dan penduduk Seberang Perai dalam memastikan alam sekitar terus dijaga dan menjadi satu budaya dalam kehidupan seharian kita serta pada masa yang sama kita dapat membantu memanjangkan jangka hayat Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang kini menerima sebanyak 2,000 tan sampah sehari dan dijangka akan penuh jika kita tidak mengamalkan pengasingan sisa dipunca serta mengurangkan penghasilan sampah bermula pada hari ini.