MAJLIS PELANCARAN SEBERANG PERAI CORPORATE PRIORITIES 2024
Majlis Bandaraya Seberang Perai telah melancarkan Seberang Perai Corporate Priorities pada 23 Januari 2024 yang diadakan di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya, MBSP Bandar Perda, Bukit Mertajam. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Azhar bin Hj Arshad, Datuk Bandar Seberang Perai serta turut dihadiri oleh barisan Whip & Ahli-Ahli Majlis MBSP, ketua-ketua Jabatan dan pegawai kanan MBSP.
 
Seberang Perai Corporate Priorities 2024 (SPCP 2024) merupakan satu dokumen tahunan yang diadaptasi daripada Pelan Strategi 2023 – 2030 dan merupakan kesinambungan bagi SPCP 2023. SPCP 2024 dilengkapi dengan maklumat program, Key Performance Indicator (KPI), aktiviti serta outcome setiap program yang telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2024.
 
Pelan Tindakan Strategi Seberang Perai 2023-2024 yang terkandung dalam dokumen ini merupakan hala tuju MBSP bagi tahun 2024 dalam usaha untuk menjadikan tahun 2024 lebih cemerlang dan memberi impak positif dalam membina sebuah organisasi yang unggul di peringkat negeri, negara dan persada antarabangsa. Terdapat lima (5) fokus utama dalam menentukan hala tuju MBSP iaituPemantapan Pembersihan, Pemerkasaan Penguatkuasaan, Peningkatan Hasil, Bandaraya Tarikan Pelancongdan Bandaraya Sukan. Fokus ini direalisasikan melalui 86 program dan 108 aktiviti yang disusun mengikut 10 keutamaan Strategik (Strategic Priorities).
 
Pembentukkan SPCP 2024 merupakan satu perancangan atau komitmen MBSP kepada semua stakeholders dalam menjayakan Visi dan Misi MBSP. Dokumen induk ini dijadikan sebagai pandu arah kepada warga kerja MBSP dan warga Seberang Perai untuk mencapai hasrat bersama. Ia juga dapat dijadikan sebagai panduan dan perancangan kerja komprehensif untuk menjadikan MBSP sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang terbuka, interaktif, cekap dan mesra masyarakat.