Anugerah Bakti Setia 2023
Majlis Bandaraya Seberang Perai melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Bakti Setia Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Kenanga, MBSP Bandar Perda, Bukit Mertajam.
Majlis Penyampaian Anugerah Bakti Setia ini adalah majlis khusus yang pertama kali diadakan di MBSP bagi mengiktiraf jasa dan khidmat pegawai dan kakitangan yang setia memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang berkhidmat bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai selama 25 tahun dan ke atas. Seramai 160 orang kakitangan MBSP dari pelbagai jawatan dan jabatan dalaman MBSP telah diiktiraf untuk menerima Anugerah Bakti Setia ini dan diberikan sijil penghargaan serta hadiah cenderamata.
Majlis ini telah disempurnakan dengan penyerahan anugerah serta cenderamata oleh YBhg. Dato’ Azhar bin Hj Arshad, Datuk Bandar Seberang Perai kepada kakitangan yang layak. Majlis ini turut dihadiri oleh Whip Ahli Majlis MBSP iaitu YBrs. Encik Cheen Goon Hooi, YBrs. Encik Zainuddin bin Mohamed, YBrs. Puan Normahani binti Muhamad, barisan Ahli-Ahli Majlis MBSP, Tuan Hj Baderul Amin bin Abdul Hamid, Setiausaha Bandaraya MBSP, ketua-ketua Jabatan serta pegawai kanan MBSP.
Semoga dengan anugerah yang diterima ini akan menjadi pemangkin dan contoh dalam memajukan kerjaya seterusnya serta memberi impak positif sebagai ‘role model’ kepada kakitangan yang lain. Semoga kakitangan ini juga sentiasa sihat sejahtera dan terus berbakti berkhidmat di MBSP serta warga Seberang Perai sehingga usia persaraan kelak.