Majlis Bandaraya Seberang Perai telah mengadakan Majlis Pelancaran Pusat Kitar Semula di Taman Sepadu, Tasek Gelugor, SPU dengan kerjasama daripada penduduk Taman Sepadu serta pihak pengurusan Surau Al-Mukhsinin, Taman Sepadu, Tasek
Gelugor. Majlis pelancaran pusat kitar semula ini telah dirasmikan YBhg. Dato’ Azhar bin Hj Arshad, Datuk Bandar Seberang Perai serta turut dihadiri oleh barisan Ahli-Ahli Majlis MBSP, Pegawai-pegawai kanan MBSP, Pengerusi Surau Al-Mukhsinin serta penduduk Taman Sepadu, SPU.
Kitar semula merupakan satu konsep penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang mana sampah boleh yang dihasilkan dikitar semula tanpa perlu dihantar ke tapak pelupusan. Memandangkan jumlah sampah harian yang dihasilkan penduduk semakin bertambah saban tahun selari dengan pertambahan populasi, maka amalan kitar semula dilihat satu alternatif yang berkesan untuk melambatkan penggunaan sumber-sumber semulajadi selain dapat mengurangkan kos pelupusan sampah.
Justeru, bagi memastikan keberkesanan program kitar semula, MBSP telah menjalin kerjasama strategik dengan universiti, badan Korporat, sekolah, NGO dan persatuan penduduk dengan mewujudkan pusat-pusat kitar semula di kawasan perumahan dan kampung seluruh Seberang Perai. Sehingga kini terdapat sebanyak 38 pusat kitar semula di Seberang Perai iaitu sepuluh (10) Pusat Kitar Semula di SPU, 20 Pusat Kitar Semula di SPT, dan lapan (8) Pusat Kitar Semula di SPS.
Penubuhan Pusat Kitar Semula di Taman Sepadu adalah satu usaha bagi menggalakkan penduduk setempat menjalankan aktiviti pengasingan sisa di punca.